3 Pagi ERA sertai Hari Kebangsaan bersama abang APMM esok

Oleh: Kamilia Ali

PENYAMPAI radio popular rancangan 3 Pagi ERA, Nabil, Azad, dan Radin akan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dengan mengambil bahagian dalam perbarisan Hari Kebangsaan di Putrajaya esok.

Buat pertama kalinya, trio ini akan menyertai perarakan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), iaitu agensi keselamatan yang bertanggungjawab dalam menjaga kedaulatan perairan negara

Perarakan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 yang bertemakan “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka,” adalah acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Penyertaan Nabil, Azad, dan Radin dalam skuad perbarisan APMM tidak hanya memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman sebagai anggota badan uniform, tetapi juga sebagai satu cara ERA untuk mempersembahkan sesuatu yang unik sempena sambutan bersejarah ini.

Menurut Pengurus Saluran Radio ERA, Azah Sahrin berkata, keputusan penyampai 3 Pagi ERA untuk menyertai perbarisan bersama APMM adalah tepat sekali gus, memberi peluang buat mereka merasai pengalaman tersebut.

“Kami ingin tampil kelainan untuk sambutan kali ini, dan penyertaan dalam perbarisan ini adalah cara terbaik untuk menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan,” ujarnya.

Sementara itu, Nabil, Azad, dan Radin menjalani latihan intensif selama dua hari bersama APMM, di mana mereka diberi tunjuk ajar cara-cara berkawad dan memakai uniform APMM dengan betul.

Pengalaman ini memberikan mereka perspektif baharu tentang disiplin dan tanggungjawab sebagai anggota keselamatan.

Anda Mungkin Berminat