Harimau Malaya sah jumpa New Zealand Oktober depan

Oleh: Kamilia Ali

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan Skuad kebangsaan di bawah kendalian Pau Marti akan menentang pasukan ranking ke-94 dunia, New Zealand di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober 2024 (Isnin).

Perlawanan tersebut bakal berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), 7 hingga 15 Oktober nanti.

“Skuad Harimau Malaya yang ketika ini berada di ranking ke-134 dunia terdahulu berpeluang untuk memperbaiki mata ranking FIFA apabila bakal berdepan pasukan ranking ke-147 dunia, Filipina pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu, 4 September 2024 yang berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa FIFA, 2 hingga 10 September 2024.

“Jika menang ke atas Filipina, skuad yang pertama kali dibimbing Pau Marti selepas pemergian Kim Pan Gon yang meletak jawatan pada 16 Julai 2024 itu akan ke Final Pestabola Merdeka 2024 pada 8 September menentang Tajikistan (ranking 103) atau Lubnan (ranking 116).

“Jika tewas kepada Filipina, mereka akan beraksi pada Penentuan Tempat Ke-3, hari yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, kemas kini Ranking FIFA seterusnya ialah pada 19 September ini.

Kali terakhir skuad kebangsaan bertemu New Zealand ialah 18 tahun lalu iaitu ketika skuad yang dibimbing Norizan Bakar ketika itu tewas 1-0 pada aksi persahabatan pertama di Christchurch pada 19 Februari 2006.

Kemudian, tewas 2-1 pada aksi persahabatan kedua di Auckland pada 23 Februari 2006.

Anda Mungkin Berminat