Konsert Merdeka bersama Siti Nurhaliza malam ini

Oleh: Kamilia Ali

SHAH ALAM: Penyanyi legenda tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal menyerikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 bersama enam barisan artis yang lain bertempat di Dataran Kemerdekaan, di sini pada pukul 8 malam.

Pelbagai program lain turut disediakan seperti selawat dan munajat, perbarisan dan perarakan kontinjen, citrawarna perpaduan serta koir.

Enam artis dijangka akan membuat persembahan ialah Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Roy, Poey Stings, Projektor Band dan kumpulan tarian Zeppo Youngsterz.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program tersebut bertemakan Jiwa Merdeka dan pelbagai program menarik diadakan bagi memeriahkan lagi suasana sambutan bermula pukul 6 petang.

“Jangan lepaskan peluang untuk turut serta dalam sambutan penuh makna ini. Ayuh kita meriahkan Dataran Kemerdekaan Shah Alam dengan kehadiran kita semua. Jumpa anda di sana!” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, lebih 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri dengan pelbagai pengisian menarik.

Tahun ini logo Malaysia Madani dipilih sebagai logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi tahun kedua berturut-turut, dengan tema sambutan ‘Malaysia Madani – Jiwa Merdeka’.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat