Nasib Golongan Miskin Keutamaan Kerajaan MADANI – PM

Oleh: Hanim Nadia

BAGAN SERAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dasar yang dilakukan Kerajaan MADANI tidak akan mengetepikan kepentingan kumpulan miskin di negara ini.

Anwar memberi contoh Majlis Pecah Tanah Residensi Suria MADANI di Taman Desa yang diluncurkan pada Khamis, di mana projek tersebut memberi manfaat dan keselesaan kepada kumpulan yang kurang berkemampuan untuk tinggal di bandar.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beri kelulusan dalam tempoh 45 hari, rekod sejak merdeka sampai sekarang, kerana selalunya kelulusan itu antara lapan bulan hingga satu tahun dua bulan.

“Tapi kalau syarikat itu sediakan umpamanya kajian geoteknologi, EIA (penilaian impak alam sekitar) dan seluruh keperluan dengan mantap, tiada sebab projek itu tidak boleh diberikan kelulusan dengan begitu cepat,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau menerima bantahan daripada penduduk di kawasan berdekatan projek Taman Desa di mana sekitarnya adalah kawasan perumahan mewah.

Ujarnya, penduduk di situ bimbang projek itu akan menjejaskan kebersihan dan berlaku kesesakan.

“Perumahan mewah dibangunkan di kawasan itu dahulunya dibina di atas tanah kampung dan ada sebahagian tanahnya dibeli dengan harga yang murah.

“Jadi siapa yang mencuci, siapa yang akan baiki elektrik, siapa yang akan sediakan kemudahan-kemudahan lain kalau bukan pekerja-pekerja kelas bawahan. Di mana mereka harus tinggal, di ceruk rantau, ini tidak munasabah.

“Saya tidak mempedulikan bantahan itu asalkan rumah itu tiga bilik, 800 kaki persegi, pengurusan dan penyelenggaraan baik, ada taman hijau, ada taman permainan, jaminan kebersihan, memadailah.

“Jika tidak ada projek perumahan rakyat, kita ada satu dasar mengingatkan kepada karya Charles Dickens ‘A tale of two Cities’ iaitu ada satu kota indah di mana ada kelompok paling miskin dan ada kelompok maha kaya,” katanya.

Justeru, Anwar mengingatkan Kerajaan MADANI harus mengetepikan dasar yang meremehkan kepentingan kelompok yang lebih miskin.