Oleh: Shafira Aziz
BANTING: Sempena pembukaan rasmi jajaran Seksyen 1 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), tol percuma diberi kepada pengguna selama sebulan mulai 12.01 tengah malam ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan ia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67.
“Pemberian tol percuma ini hanya untuk Lebuhraya WCE Seksyen 1 sahaja dan tidak melibatkan tol lain yang bersambung dengan lebuh raya ini.
“Pelaksanaan tol percuma tersebut akan berlangsung pada 11.59 malam 29 September ini,” katanya selepas menyempurnakan pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 1 hari ini.
Jajaran sepanjang 12.5 kilometer (km) tersebut akan menghubungkan Jalan Dengkil-Banting ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) yang memberi manfaat kepada rakyat terutamanya pengguna di sekitar Banting sebagai laluan alternatif ke bandar-bandar utama di selatan Lembah Klang seperti Putrajaya, Bangi dan Kajang.
Seksyen 1 Lebuhraya WCE tersebut juga akan menjadi jalinan keterhubungan yang utama bagi kenderaan berat dan komersial yang membawa barangan dari pelabuhan utama seperti pelabuhan Klang dan Pelabuhan Lumut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Untuk rekod, Lebuhraya WCE merupakan lebuhraya antara bandar merentasi pantai barat Semenanjung Malaysia. Ia menghubungkan daerah Changkat Jering, Perak ke Banting, Selangor sepanjang 314.5 km.
Lebuhraya tersebut juga melalui destinasi utama seperti Beruas, Seri Manjung, Sitiawan, Teluk Intan, Bagan Datuk, Hutan Melintang di Perak dengan Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Klang, Shah Alam dan Banting di Selangor