Oleh: Farah Faizal
JOHOR BAHRU: Seorang penunggang basikal maut dirempuh sebuah kenderaan dalam kemalangan di KM 5.3 Jalan Pantai menghala Pusat Bandar, Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, insiden yang berlaku kira-kira pukul 11.35 malam pada Sabtu itu membabitkan seorang lelaki dipercayai warga asing berusia 36 tahun.
Menurutnya, mangsa yang menunggang basikal di tepi kiri jalan tiba-tiba bergerak ke kanan jalan sehingga menyebabkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun itu terlanggar mangsa.
“Penunggang basikal mengalami kecederaan di bahagian kepala telah meninggal di tempat kejadian.
“Siasatan dijalan kebawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Justeru itu, pihak polis menyeru saksi awam yang melihat kejadian tersebut agar tampil ke balai polis berhampiran untuk memberi keterangan.