Presiden AS ucap Selamat Hari Kebangsaan kepada Malaysia

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-67 kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan seluruh rakyat Malaysia.

Dalam kenyataannya, Biden menyampaikan ucapan selamat itu bagi pihak AS dan berkata, “Saya menyampaikan ucapan selamat kepada Yang di-Pertuan Agong dan rakyat Malaysia yang menyambut Hari Kebangsaan.”

Menurut beliau, Malaysia dan AS telah menikmati hubungan persahabatan dan kerjasama selama hampir tujuh dekad yang ditunjangi pandangan bersama untuk sebuah masa hadapan yang selamat, makmur dan berdaya tahan.

“Bersama-sama, kita mengukuhkan hubungan ekonomi, sesama rakyat dan keselamatan kita yang kuat,” katanya.

Biden juga mengetengahkan usaha bersama dalam memperkasakan usahawan, terutamanya wanita menerusi pelbagai program dengan berkongsi pengetahuan, kemahiran dan rangkaian bagi membolehkan mereka melancarkan dan mencapai kejayaan perniagaan di peringkat global.

Presiden AS itu selanjutnya menzahirkan keyakinan dalam perkembangan berterusan hubungan dua hala menerusi perkongsian komitmen untuk mempromosikan Indo-Pasifik sebagai sebuah rantau yang bebas, terbuka, makmur dan selamat.

“Saya yakin ikatan kedua-dua negara akan terus berkembang maju,” ujarnya.

Biden juga mengucapkan selamat untuk sambutan Hari Kebangsaan yang penuh dengan keriangan dan keamanan.

Anda Mungkin Berminat