Oleh: Kamilia Ali
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon popular, Andi Bernadee dengan bangganya mengumumkan bahawa dirinya baru sahaja menandatangani kontrak secara rasmi dengan label muzik terkemuka dunia iaitu Universal Music Malaysia secara tidak langsung, meneruskan perjalanan bagi meluaskan jangkauan muzik dalam kariernya.
Penyanyi kelahiran Sabah serta terkenal dengan lagu Dame Solo Una itu telah berjaya meninggalkan kesan dan mencipta impaknya yang tersendiri.
Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 32, telah menghasilkan beberapa hit dalam genre ‘Reggaeton’ sehingga namanya menjadi terkenal di negara ini.
Dalam masa yang sama, Andi juga mempunyai impian tersendiri setelah menyertai label antarabangsa yang mempunyai nama besar dalam industri.
“Sebagai seorang artis, saya semestinya ingin berkembang dan sebagai penyanyi, saya merancang untuk menghasilkan album serta beberapa pertunjukan khas yang akan menyusul.
“Saya harap saya akan tetap kekal dalam zon saya dan lebih banyak lagu reggaeton akan dihasilakn sesuai dengan gaya muzik dan genre saya,” ujar Andi.
Andi yang juga seorang pelakon berbakat berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga Universal Music Malaysia dan akan mengumumkan lebih banyak berita menarik dalam masa terdekat.