Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Kes demam denggi mencatatkan penurunan dengan satu kematian akibat komplikasi direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-34 (ME34).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, penurunan tersebut bagi tempoh 18 hingga 24 Ogos lalu kepada 1,980 kes berbanding 2,294 kes pada minggu sebelumnya.
“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME34 adalah sebanyak 94,807 kes berbanding 78,277 bagi tempoh sama tahun lalu.
“Terdapat 84 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 55 kematian bagi tempoh yang sama pada 2023,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dr Muhammad Radzi berkata, bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME34 adalah 85 berbanding 91 pada minggu sebelumnya.
“Daripada 85 lokaliti yang dilaporkan, 68 adalah di Selangor, empat masing-masing di Negeri Sembilan dan Kelantan manakala tiga masing-masing di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dan Perak serta dua di Sabah dan satu di Kedah,” ujarnya.
Bagi survelan chikungunya, katanya, terdapat dua kes direkodkan pada ME34 menjadikan jumlah kumulatif kes setakat ini ialah 68 kes dan tiada wabak dilaporkan dalam tempoh itu.
“Bagi survelan zika, sebanyak 1,781 sampel darah, lapan sampel urin serta tiga sampel cairan serebrospinal telah disaring dan keputusannya adalah negatif,” katanya.