JAKIM sahkan 5 restoran terkenal bukan pemegang sijil halal

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini menyenaraikan lima premis makanan popular yang didapati bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Menerusi satu kenyataan di laman sosial Facebook rasmi jabatan itu, restoran tersebut adalah Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr. Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw.

Jelasnya, kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menjawab pertanyaan mengenai status halal beberapa premis makanan yang tular baru-baru ini.

“Semakan itu dibuat berdasarkan dalam sistem MYeHALAL JAKIM selepas menjawab pertanyaan mengenai status halal beberapa premis makanan.

“Untuk makluman, pertanyaan itu telah diajukan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, tambahnya, semakan semula yang dibuat melalui Portal Halal Malaysia mendapati, empat outlet premis makanan berangkai jenama Ayam Penyet Best mempunyai SPHM yang masih sah.

“Jabatan ini telah mengemukakan semula makluman kepada individu yang bertanya melalui e-mel pada 2 September 2024 jam 11.36 malam iaitu hari yang sama diberi maklum balas atas pertanyaan yang diajukan,” katanya.

Terdahulu, status halal beberapa restoran popular menjadi perbincangan hangat warga maya ekoran surat JAKIM yang tular di media sosial yang turut memasukkan jenama restoran Ayam Penyet Best antara premis yang tidak mempunyai sijil halal.

“Sebarang status halal bagi mana-mana premis atau produk, pengguna boleh melakukan semakan di Portal Halal Malaysia melalui pautan http://myehalal.halal.gov.my/portal-halal/v1/index.php

“Ikuti penjelasan berkenaan isu-isu halal yang tular melalui https://sites.google.com/islam.gov.my/skkbph/laman-utama,” katanya.

Anda Mungkin Berminat