BALIK PULAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan kemeja-T tertera logo dan nama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya yang dipakai seorang warga asing bukan atas tugasan rasmi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata sebaliknya kemeja-T tersebut telah dicetak pada 2016 untuk kegunaan aktiviti sosial seperti senaman dan gotong-royong.
“Hasil siasatan mendapati baju itu dicetak pada 2016 untuk kegunaan aktiviti sosial seperti senaman, gotong-royong dan sebagainya serta bukan bagi penugasan rasmi IPD Barat Daya,“ katanya dalam kenyataan.
Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular itu dan pihaknya mengambil maklum isu terbabit.
Terdahulu tular rakaman video berdurasi 23 saat memaparkan lelaki tempatan merakamkan gelagat seorang lelaki yang didakwa warga Bangladesh memakai kemeja-T tertera logo PDRM serta nama IPD Barat Daya.