Pemenang Paralimpik Paris Cheah Liek Hou Terima Insentif RM1 Juta

Oleh: Hanim Nadia

JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou bakal menerima ganjaran RM1 juta daripada kerajaan susulan kejayaan meraih pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024 awal pagi Selasa.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mengakui teruja apabila mendengar nyanyian Lagu Negaraku dimainkan di Porte de La Chapelle Arena, Paris.

“Seperti yang telah dijanjikan, Liek Hou akan menerima ganjaran daripada kerajaan sebanyak RM1,000,000 dan elaun bulanan menerusi Skim Insentif Sukan Olimpik (SITO) RM5000 sepanjang hayat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Liek Hou muncul juara menerusi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris malam tadi, juara dunia lapan kali itu tidak berdepan banyak masalah apabila menang 21-13, 21-15 ke atas pemain Indonesia, Suryo Nugroho dalam tempoh 42 minit.

Kemenangan itu turut menyaksikan Liek Hou meraih pingat emas kedua berturut-turut pada temasya sukan terbesar dunia tersebut, sekali gus mempertahankan emas yang dimenangi di Tokyo, Jepun tiga tahun lalu.

Hannah turut melahirkan rasa bangga dan mengucapkan terima kasih kepada Liek Hou kerana membanggakan nama Malaysia di persada dunia.

“Liek Hou, saya tahu ayah awak sangat bangga dengan kemenangan kedua ini. Ini adalah seorang lagi atlet bertaraf dunia yang sangat maju.

“Kami tidak perlu risau tentang kekuatan mentalnya. Terima kasih kerana membanggakan setiap rakyat Malaysia. #KitaSemuaTeamMAS,” tulisnya.

Sementara itu, Hannah turut mengajak orang ramai untuk menonton filem bertajuk ‘GOLD’ yang mengisahkan liku-liku dan perjalanan hidup Liek Hou, arahan Adrian Teh.

Dalam pada itu, Hannah juga memaklumkan Eddy Bernard, atlet para yang memenangi pingat gangsa acara larian 100m T44 (kecacatan fizikal) akan menerima ganjaran daripada kerajaan sebanyak RM100,000 dan elaun bulanan menerusi Skim Insentif Sukan Olimpik (SITO) RM2000 sepanjang hayat.