Oleh: Hanim Nadia
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou yang menyumbang pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Paralimpik Paris 2024.
Liek Hou muncul juara menerusi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris malam tadi, juara dunia lapan kali itu tidak berdepan banyak masalah apabila menang 21-13, 21-15 ke atas pemain Indonesia, Suryo Nugroho dalam tempoh 42 minit.
Kemenangan itu turut menyaksikan Liek Hou meraih pingat emas kedua berturut-turut pada temasya sukan terbesar dunia tersebut, sekaligus mempertahankan emas yang dimenangi di Tokyo, Jepun tiga tahun lalu.
Menerusi hantaran platform X pada Selasa, Anwar berkata pencapaian itu sangat membanggakan kerana telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
“Kita beroleh pingat emas pertama di #Paralympic2024! Lebih membanggakan kerana saudara Cheah Liek Hou berjaya mempertahankan pingat emas yang dirangkul pada Paralimpik lalu.
“Tahniah! Saudara mengharumkan nama Malaysia di persada dunia!” katanya.