Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung video tular membabitkan kenyataan mengelirukan daripada seorang pensyarah universiti berkenaan di media sosial, baru-baru ini.
UIAM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah memberi peringatan kepada pensyarah tersebut supaya lebih berhati-hati dalam perkongsian beliau kepada masyarakat umum pada masa akan datang.
“UIAM juga secara amnya sentiasa menegaskan bahawa pandangan ahli-ahli akademik dalam universiti ini perlu diselaraskan dengan standard yang telah ditetapkan Jawatankuasa Integriti Akademik universiti ini.
“Namun begitu, universiti tidak pernah menghalang kebebasan akademik dan sentiasa menyokong program-program percambahan ilmu,” kata kenyataan itu pada Selasa.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan isu melibatkan ceramah bertajuk Peranan Wanita Islam di Bumi Melayu oleh seorang pensyarah universiti tersebut baru-baru ni.
Bagaimanapun, pensyarah tersebut menegaskan beliau tidak pernah menyebut Khadijah berasal dari alam Melayu seperti yang ditularkan.
Dakwanya, terdapat individu yang memotong sebahagian video ceramahnya sehingga menyebabkan ia disalah erti dan menjadi tular.
Dalam pada itu, UIAM menegaskan bahawa pihaknya sentiasa memperingatkan ahli akademik akan tanggungjawab mereka untuk memberikan hujahan yang berasaskan fakta yang jelas.
“Ia juga perlu disokong oleh kajian dalam jurnal penyelidikan dan diiktiraf mengikut prinsip kesarjanaan dalam bidang masing-masing.
“Ini penting bagi memastikan dunia akademia terus dihormati dan diiktiraf atas ketinggian ilmu dan integriti ahli-ahli akademiknya,” kata kenyataan itu lagi.