3 individu larikan diri, Maritim temui 20kg syabu dalam bot kayu

Oleh: Hanim Nadia

PONTIAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor telah menggagalkan satu cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat 20 kilogram di kawasan perairan Parti Raja, di sini.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kapten Kama Azri Kamil berkata, rampasan dilakukan selepas bot ronda Maritim berjaya mengesan sebuah bot kayu tanpa pendaftaran yang mencurigakan di kawasan tersebut sekitar jam 12.30 tengah malam tadi.

“Ketika pengesanan dilakukan, bot ronda Maritim mendapati terdapat tiga individu berada di atas bot kayu tersebut dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak melarikan diri menuju ke kawasan paya bakau dan meninggalkan bot kayu tersebut.

“Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemukan sebuah beg berwarna biru gelap yang mengandungi 20 bungkusan teh cina dipercayai dadah jenis syabu dipercayai untuk kegunaan seramai 100,000 penagih,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kesemua bungkusan dadah tersebut dirampas dan bot kayu tanpa pendaftaran berserta enjin juga disita bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot kayu tanpa pendaftaran serta enjin dianggarkan bernilai lebih RM700,000. Dadah tersebut dipercayai untuk diseludup keluar dari Malaysia.

“Maritim Negeri Johor akan terus menguatkuasakan undang-undang di perairan ini bagi mengekang sebarang penyeludupan barang terlarang terutama dadah,” katanya lagi.