KUALA LUMPUR: Dakwaan pembabitan bekas timbalan menteri dengan sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi di Myanmar kini tertumpu kepada semakan transaksi kewangan individu terlibat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya mendapatkan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan maklumat transaksi membabitkan kemasukan dan pengeluaran wang daripada syarikat atau akaun persendirian yang disyaki berkaitan kes itu.
“Kita (PDRM) masih menunggu maklum balas daripada BNM mengenai semakan transaksi wang membabitkan beberapa individu dan ia memerlukan masa untuk mendapatkannya.
“Semakan itu akan menumpukan kepada aliran transaksi yang berlaku di Myanmar membabitkan individu tertentu,” katanya, memetik Berita Harian pada Selasa.
Sementara itu, beliau mengesahkan polis sudah merakam keterangan lapan individu termasuk ahli politik dan suaminya berhubung kes yang didakwa mempunyai kaitan dengan pasangan berkenaan.
Razarudin berkata pihaknya turut merekod keterangan penulis blog dari Indonesia berkaitan penulisan artikel membabitkan kes sama.
Beliau berkata, semakan terhadap akaun syarikat beberapa individu yang didakwa terbabit dalam kes berkenaan juga dijalankan.
“Selain ahli politik, suaminya dan penulis blog itu, polis turut mengambil keterangan dua individu daripada sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, Razarudin mengesahkan keberadaan ahli politik itu di Myanmar untuk urusan pelaburan hartanah, namun siasatan mengenai pembabitan beliau dalam aktiviti pemerdagangan manusia masih dijalankan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Sehubungan itu, Razarudin menasihati orang ramai tidak membuat spekulasi berkaitan isu itu dan memberi ruang kepada polis untuk melengkapkan siasatan.
Sebelum itu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dipanggil membantu siasatan kes tersebut di Myanmar yang didakwa membabitkan individu sama.