Kon Yeow Tolak Tanding Pemilihan DAP, Tak Jejas Pentadbiran Pulau Pinang

Oleh: Hanim Nadia

GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa dirinya tidak akan bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang akan diadakan pada 22 September ini.

Kon Yeow berkata, beliau mengambil keputusan itu adalah untuk memberi laluan kepada muka baharu.

Menurutnya, beliau telah menerima surat pemberitahuan daripada DAP Pusat berhubung pencalonannya itu pada 27 Ogos lalu.

“Setelah mempertimbangkannya dengan teliti, saya telah membuat keputusan untuk tidak menerima pencalonan tersebut.

“Setelah dilantik semula sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Umum negeri pada 2023, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah mengarahkan saya untuk merangka pelan peralihan kepimpinan.

“Oleh itu, saya telah memutuskan untuk mengambil langkah pertama dalam pelan peralihan kepimpinan ini dengan memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk dipilih sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang dalam pemilihan Jawatankuasa Negeri pada 2024,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Rabu.

Tambah Kon Yeow, beliau yakin bahawa perwakilan akan memilih Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang cemerlang untuk meneruskan misi politik parti di negeri itu.

Dalam pemilihan DAP Pulau Pinang tiga tahun yang lalu, Kon Yeow telah dipilih menjadi Pengerusi DAP Pulau Pinang dengan undian tertinggi, iaitu selepas memiliki majoriti sebanyak 1,211 undi.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan Kon Yeow itu tidak memberi kesan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ini kerana, katanya, Kon Yeow akan terus memegang jawatan Ketua Menteri sehingga akhir penggal selaras dengan Peruntukan Negeri yang menghadkan jawatan itu selama dua penggal maksima.

“Saya menghormati keputusan dan pendirian beliau demi pembaharuan dalam kepimpinan DAP Pulau Pinang selepas menerajui jawatankuasa negeri selama 25 tahun.

“Sebelum pengumuman hari ini, beliau turut berbincang dengan saya berkenaan hasratnya,” katanya dalam satu kenyataan.