Oleh: Hanim Nadia
KUANTAN: Lapan buah ambulans jenis A berharga RM3.64 juta diserahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada enam hospital di negeri Pahang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perolehan ambulans itu diluluskan KKM daripada keseluruhan 45 unit kenderaan ambulans untuk negeri berkenaan.
“Lapan unit ambulans ini telah dibekalkan pada 21 Ogos yang lalu, manakala 37 lagi unit Ambulans Type B akan dibekalkan pada bulan November 2024 dan Julai 2025 nanti.
“Dua unit kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, dua unit Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dan masing-masing sebuah kepada Hospital Pekan, Hospital Bentong, Hospital Lipis dan Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Cameron Highlands,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Rabu.
Wan Rosdy menyerahkan ambulans tersebut dalam Majlis Penyerahan Ambulans Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan pada Rabu.
Dalam pada itu, katanya, ambulans yang diterima lengkap dengan peralatan perubatan bagi memastikan rawatan kecemasan dapat diberikan segera.
“Kerajaan Negeri Pahang menghargai inisiatif KKM dan usaha Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
“Saya berharap lebih banyak lagi inisiatif KKM dalam meningkatkan taraf kesihatan dan kesejahteraan rakyat Pahang,” ujarnya.