RUSSIA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini pagi ini untuk lawatan kerja dua hari ke bandar raya pelabuhan utama di wilayah Timur Jauh Russia.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vladivostok pada 8.33 pagi waktu tempatan (6.33 pagi waktu Malaysia).
Beliau disambut Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Cheong Loon Lai dan beberapa pemimpin negara itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menghadiri Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF) berlangsung pada 3 hingga 6 September. Beliau akan menyampaikan ucapan pada sidang pleno pada 5 September.
Kemuncak lawatan adalah pertemuan dua hala dengan Presiden Russia, Vladimir Putin dan PM dijangka mengulangi hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS kerana Russia memegang jawatan Pengerusi BRICS.
Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup serta pegawai kanan.