JAGUH lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli meraih pingat perak pada Sukan Paralimpik Paris 2024.
Pada aksi final acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) yang berlangsung di Stade de France, pemegang rekod Asia itu melakukan catatan terbaik menerusi percubaan ketiga dengan lontaran sejauh 17.18 meter (m).
Catatan itu bagaimanapun dianggap masih jauh dengan rekod Asia 17.43m yang dilakukan Ziyad ketika dia memenangi pingat emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun Mei lalu.
Dalam pada itu, pingat emas menjadi milik atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi yang memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali menerusi catatan 17.61m manakala gangsa menjadi milik rakan sepasukannya, Maksym Koval (16.99m).