Anjing jalanan Turkiye kini bahagia di Belanda

DALI dan Deezi, dua ekor anjing jalanan di Turkiye kini tinggal di Belanda selepas bertahun-tahun berada di tempat perlindungan di bandar Istanbul.

Ketika anjing jalanan lain menghadapi masalah ditangkap oleh kerajaan Turkiye yang kini dalam usaha membersihkan jalanan, Dali dan Deezi antara haiwan jinak yang bertuah.

Julai lalu, Parlimen Turkiye meluluskan undang-undang agar empat juta anjing liar di negara itu ditangkap dan ditempatkan di tempat perlindungan bagi menjamin keselamatan orang awam menjelang 2028.

Tindakan itu didorong oleh kebimbangan mengenai serangan oleh anjing, kemalangan jalan raya dan penyakit rabies.

Bagaimanapun, jika mana-mana anjing yang menunjukkan tingkah laku agresif atau berpenyakit dan tidak boleh dirawat, mereka akan dimatikan.

Aktivis haiwan Nilgul Sayar berkata pihaknya telah menghantar beratus-ratus anjing ke luar negara untuk diambil sebagai anak angkat dan permintaan itu telah melonjak sejak undang-undang diluluskan.

“Kami mempunyai kira-kira 20-25 ekor anjing bersedia untuk terbang.

“Orang ramai terus menghubungi kami (untuk anak angkat). Saya harap kami dapat hantar lebih banyak anjing tidak lama lagi. Mereka semua akan mempunyai rumah yang baik,” katanya memetik Reuters pada Khamis.

Sayar menjelaskan kos penyediaan haiwan itu ke Kesatuan Eropah termasuk kertas kerja dan vaksinasi sekitar 1,000 euro (RM4,800) dalam masa 3-4 bulan.

Dali, dinamakan sempena nama pelukis Salvador Dali yang kehilangan kaki dalam kemalangan kereta ketika masih kanak-kanak. Dali dan Deezi yang berusia sembilan tahun tinggal di rumah perlindungan Sayar selama empat tahun.














Anda Mungkin Berminat