Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Kontraktor makanan bagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang bersikap sambil lewa dalam penyediaan makanan kepada pelajar akan disenarai hitam.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, amaran itu diberikan kerana terdapat segelintir kontraktor makanan yang membuat kerja sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh apabila mengetahui kontrak mereka bakal ditamatkan.
“Syarikat seperti ini wajib disenarai hitamkan oleh MARA. Ini soal keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan anak-anak. Tidak boleh dikompromi sama sekali.
“Apakah tidak ada sekelumit rasa gerun dengan setiap sen yang diperoleh daripada sikap kecurangan yang bukan sahaja mengundang kemurkaan Allah tetapi melibatkan hak ratusan manusia yang teraniaya.
“Akhirnya, rezeki tiada barakah dan membawa kepada malapetaka,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut mempersoalkan sikap kontraktor yang tidak berasa gentar dengan tindakan yang dilakukan mereka sehingga menjejaskan ratusan pelajar.