Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan diumum oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Lapor media tempatan, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh pimpinan parti.
“Saya berikan kuasa kepada Menteri Besar Johor untuk buat pengumuman calon PRK DUN Mahkota,” katanya yang juga Pengerusi BN.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Dengan Ancaman Dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.
Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing pada 14 dan 24 September.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Untuk rekod, Onn Hafiz dilantik sebagai Pengarah PRK DUN Mahkota dan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai timbalannya.