Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Ekonomi akan melancarkan jelajah ‘Madani Mendengar’ di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, ia inisiatif untuk mengumpul pandangan daripada pelbagai pihak termasuk rakyat dalam membangunkan negara.
“Pandangan ini akan dikumpul daripada pemikir awam, wakil sektor swasta dan juga rakyat biasa.
“Sesi jelajah ini akan diadakan di 13 negeri dan 3 Wilayah Persekutuan untuk memastikan orang ramai mempunyai peluang untuk menyuarakan kebimbangan, pandangan dan juga cadangan mereka untuk membantu membentuk masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, katanya, program tersebut akan menjadi platform semua suara dapat didengar, membimbing proses reformasi dan memastikan penggubalan dasar selaras dengan keperluan sebenar rakyat.
Tambahnya, pandangan-pandangan ini juga boleh disampaikan melalui portal RMK13 yang baharu sahaja dilancarkan di pautan https://rmk13.ekonomi.gov.my.
“Saya menyeru kepada semua rakyat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam program ini kerana kejayaan RMK13 bergantung kepada pendekatan keseluruhan negara,” katanya lagi.
Dalam pada itu, katanya, RMK13 akan dirangka dengan mengambil pendekatan yang sama seperti RMK Pertama yang lebih ringkas dan menyeluruh dan berasaskan ‘kanvas kosong’.
Jelasnya, RMK13 akan menumpukan keutamaan cabaran ekonomi dan melaksanakan reformasi yang lebih radikal secara tersusun, membolehkan kerajaan tetap adaptif dan responsif terhadap keperluan rakyat.
“Ekonomi Malaysia telah berkembang dengan ketara daripada pergantungan kepada getah dan bijih timah semasa pasca kemerdekaan, namun transformasi lanjut diperlukan untuk mengekalkan kelebihan daya saing dan daya tahan dalam dunia yang semakin mencabar.
“Kerajaan komited untuk melaksanakan reformasi radikal, berani dan transformatif yang akan memperkukuh asas ekonomi negara, memastikan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan potensi besar rantau ASEAN.
“Selaras dengan visi ini, RMK13 akan menjadi dokumen strategik yang ringkas namun komprehensif, direka untuk mudah difahami oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.