Rusia Sebagai Pemain Utama Keselamatan Global – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Rusia yang banyak membantu dalam menstabilkan pasaran pertanian global ekoran krisis sehingga mengganggu rantaian makanan global.

Anwar berkata, Rusia melakukan kemajuan ketara apabila menjadi pemain global utama dalam sektor pertanian, terutama selaku pengeluar dan pengeksport bijiran terbesar dunia.

“Rusia memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan global. Eksport pertanian Rusia membantu menstabilkan pasaran global di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan berterusan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Selain itu, Anwar berharap kerjasama antara Malaysia-Rusia dapat memanfaatkan dalam sektor penyelesaian teknologi tinggi terutama dalam bidang kecekapan tenaga, transmisi data dan teknologi bandar pintar, yang beliau percaya boleh menjadi kekuatan bersama untuk memacu inovasi serta menangani cabaran abad ke-21.

Dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), beliau juga percaya apa yang dimiliki Rusia dapat dimanfaatkan oleh Malaysia dalam aspek pendidikan serta penyelidikan.

“Rusia mempunyai reputasi lama untuk kecemerlangan, terutamanya dalam bidang STEM. Universiti-universiti Rusia secara konsisten berada di kedudukan yang terbaik di dunia, menghasilkan saintis, jurutera dan penyelidik bertaraf dunia.

“Dengan penubuhan Pusat Teknologi Tinggi Russia-Malaysia (RMHTC) di Malaysia baru-baru ini, ia menekankan komitmen kita untuk memupuk inovasi teknologi dan kecemerlangan akademik.

“Tambahan pula, usaha mencapai kemajuan canggih seperti AI (kecerdasan buatan) dan teknologi semikonduktor harus dipandu nilai kemanusiaan dan altruistik, untuk memastikan persaingan teknologi dan ketidaksamaan tidak menghalang perdagangan bebas serta mencipta landskap geopolitik yang lebih terpecah,” katanya.

Anda Mungkin Berminat