JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 46 kes yang disyaki suspek virus cacar monyet atau ‘monkeypox’ (Mpox) adalah negatif.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu diperoleh hasil saringan yang dibuat ke atas 5.2 juta pengembara yang tiba di sempadan atau pintu masuk antarabangsa Malaysia (PMA) setakat ini.
“Mutakhir ini, kita sudah saring 5.2 juta (pengembara) dan daripada jumlah itu kita dapat 46 kes suspek Mpox, namun berita gembiranya, semua negatif.
“Sehingga kini, kita belum berdepan apa-apa cabaran, semoga ia kekal begini. Terakhir, kita berdepan kes positif dalam varian clade II (dua) bukan I (satu) yang lebih ganas iaitu sembilan kes pada Disember 2023,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Jalan Dhoby di sini, malam tadi.
Dr Dzulkefly berkata, sejak 16 Ogos lalu, KKM sudah memulakan segala langkah siap sedia terutamanya di pintu-pintu masuk sempadan negara.
Pada masa sama, beliau berharap situasi Mpox di negara ini tidak dibandingkan dengan negara jiran, Singapura, bagi mengelakkan suasana menggusarkan.
“Jangan terlalu buat perbandingan dengan Singapura. Kita punya cabaran sendiri dan SOP (prosedur operasi standard) yang kita telah letakkan. Singapura ada kuarantin, kita tidak sampai ke tahap itu kerana kita masih lagi terkawal, tiada kes positif.
“Kita tidak mahu orang berlengah-lengah atau cuai, tetapi pada waktu sama, kita tidak mahu orang digemparkan dengan apa juga pendekatan yang boleh menggusarkan.
“Ini bukan pandemik macam Covid-19 yang berulang sehingga ada ‘lock down’ dan sebagainya, itu semua jangan kita bayangkan,” katanya.