Dari Rusia Dengan Cinta

Oleh: Khairil Hilmi Mokhtar

ULASAN | ‘From Russia With Love’ – suatu judul filem yang telah berdekad lama dan sinonim dengan jenama suatu susuk watak fiksyen yang dikenali ramai. Tetapi apa yang ingin dibicarakan adalah bukan suatu fantasi, tetapi ia suatu realiti yang benar. Dan susuk benar itu adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang kesepuluh.


Kehadiran Anwar ke Vladivostok, Rusia adalah di atas jemputan khusus oleh tidak lain tidak bukan, orang kuat Rusia sendiri, Presiden Vladimir Putin. Putin begitu mendambakan kehadiran Perdana Menteri ke Vladivostok. Bahasa badan yang ditunjukkan Putin mencerminkan sikap hormat dan memandang tinggi kepada seorang pemimpin yang disegani.


Perkara ini amat menarik buat pemerhati geo-politik kerana Presiden Putin itu sendiri amat terkenal dengan persona yang mengagumkan kawan, aura intimidasi kepada lawan dan tidak berselindung dengan bahasa badannya terhadap mana-mana tokoh dunia.


Apa yang lebih wajar dibicarakan adalah pertemuan Anwar dan Putin ini sebenarnya suatu mesej kepada dunia yang sangat jelas – Malaysia kini sangat dihormati danadalah negara yang penting di pentas antarabangsa dan dunia diplomasi. Suatu ketika tidak berapa lama yang dahulu, suasana imej Malaysia amat suram, terpalit dengan cerita-cerita negatif yang menyebabkan negara ini tidak diberi perhatian malahan acapkali terpinggir.


Lebih malang di rantau ini watak-watak hebat seperti Presiden Jokowi menenggelamkan terus Malaysia di mata antarabangsa. Tapi kini tidak lagi, Anwar telah meletakkan Malaysia di darjat yang tinggi di mata dunia. Malaysia menelusuri dengan pantas jalan-jalan menjadi sebuah negara hebat sejak Kerajaan MADANI menjadi pemacu kepada reformasi menyeluruh di dalam pelbagaiaspek – ekonomi, politik, dan sosial.

Walau ada cemuhan dan sindiran, ia tidak pernah menjadi penghalang kepada Perdana Menteri dan pasukan MADANI mengorak langkah ke arah yang lebih baik untuk negara bertuah ini. Daripada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menjangkaui sasaran organisasi antarabangsa, kepada kejayaan menarik penarikan pelaburan asing antara tertinggi di Asia tahun ini, pemulihan ekonomi berteraskan formula Ekonomi MADANI tidak lagi ditertawakan.

Data dan fakta menunjukkan formula yang selalu disindir ini telah terbukti membuahkan hasil. Kejayaan demi kejayaan ini sebenarnya berpunca dari perubahan sikap, peningkatan produktiviti dan kesediaan rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengangkat darjat negara.


Mantra tatakelola yang acapkali dicanang oleh Anwar telah menyerap ke dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta. Pengukuhan integriti telah membuahkan hasil. Cemuhan dan sindiran mula beransur menjadi penghargaan dan keyakinan. Keyakinan ini turut berjaya meraih perhatian dari pemimpin-pemimpin dunia yang berebut-rebut menjemput Anwar dan pasukan MADANInya.


Begitu ramai tokoh-tokoh negar asing juga bergegas ke Malaysia untuk merealisasikan strategi Indo-Pasifik mereka, termasuk New Zealand, Kanada dan pelbagai lagi. Dan inilah yang turut berlaku terhadap pemimpin tertinggi Rusia, Presiden Vladimir Putin yang melihat Anwar ini sebagai suatu sosok yang sangat penting untuk didampingi dan dijadikan rakan karib.

Apatah lagi pada tahun 2025 Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN. Aura dan pesona Perdana Menteri ini semakin hari semakin kuat dan dilihat sebagai tokoh di rantau Asia Tenggara yang amat hebat. Selamat jalan Pak Jokowi, terima kasih sekian tempoh menjadi “Poster Boy” Asia Tenggara. Tapi mohon izin ketepi, ada susuk bernama Anwar Ibrahim yang kini dilihat sebagai individu yang amat berpengaruh di mata dunia.

Presiden Indonesia, Joko Widodo


Maka apabila Anwar menerima pelawaan Putin untuk bertandang ke negara kuasa besar itu, sudah pasti deretan manfaat akan mengalir ke Malaysia. Rusia mempunyai pelbagai sumber dan teknologi yang mampu memenuhi keperluan Malaysia dalam bidang ekonomi dan kewangan, pertanian, pendidikan, sosial dan kesihatan yang boleh dimanfaatkan bersama.


Rusia juga sejak sekian lama sentiasa bersedia melaksanakan perdagangan barter melibatkan penukaran minyak kelapa sawit dari Malaysia. Ini sudah pasti memberi impak positif kepada industri sawit Malaysia, terutama pekebun kecil dan peneroka tanah rancangan. Rakan-rakan karib Rusia juga sudah terbukti mampu memperluas potensi perdagangan dengan Malaysia dalam pelbagai sektor.

Justeru pemohonan Malaysia untuk menyertai BRICS (sebuah kesatuan ekonomi yang terdiri daripada negara-negara Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan) dilihat sudah ibarat kali sudah melangkah sebelah untuk diterima menjadi ahli. Potensi nilai perdagangan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan mendapat manfaat yang besar apabila Russia dan negara-negara akrab dengan Rusia memberi keyakinan dan keutamaan tinggi kepada Malaysia.


Rakan karib dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Rakan karib dalam bidang sosial dan pendidikan. Rakan karib dalam bidang keselamatan dan pertahanan. Rakan karib yang menjadi simbol diplomasi dan pejuang keamanan sejagat. Usaha keras seluruh rakyat Malaysia yang menyahut seruan Anwar Ibrahim agar kita memperkukuh perpaduan kini semakin membuahkan hasil.

Dalam semangat bulan kemerdekaan yang masih kuat membara, amat jelas perpaduan yang menjadi
teras kekuatan Malaysia ini lahir dari kesatuan dalam kepelbagaian. Apa yang dibawa dalam semangat Malaysia MADANI itu bukan hanya slogan retorik.

Semakin hari semakin membuktikan apabila negara di bawah kendalian yang betul, disokong oleh rakyat jelata yang bersedia berganding bahu untuk mengangkat martabat Malaysia menjadi negara yang hebat, sudah pasti kejayaan demi kejayaan akan diraih. Menjaga amanah negara dengan tertib itu pasti ada rahmat dan ganjarannya.


Ya, Anwar Ibrahim tidak sempurna. Tetapi ketidak sempurnaan beliau itu lompongnya ditampung oleh rakyat yang bersedia untuk bersama-sama menjadikan Malaysia tanah air bertuah ini disanjung dan dihormati dunia. Maka hakikatnya pemimpin dan rakyat berpisah tiada, itulah simbol perpaduan yang
akan membawa Malaysia menjadi negara hebat yang tinggi darjatnya.

Penulis juga merupakan seorang Penganalisis Keselamatan Geo-Strategik

Anda Mungkin Berminat