Fahmi Persoal TikTok Benarkan Akaun ‘Abang Bas’ Aktif Begitu Lama

Oleh: Hanim Nadia

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menyuarakan kebimbangan apabila TikTok membenarkan akaun seperti ‘Abang Bas’ yang tular kerana merakam video murid perempuan dalam kenderaan itu dapat beroperasi sebegitu lama.

Ujarnya, beliau juga sudah berhubung dengan Tiktok pada Jumaat dan pihak terbabit memberikan kerjasama baik kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Bila kita lihat kandungan yang dimuat naik dalam akaun tersebut, bagaimana TikTok boleh membenarkan akaun seperti itu beroperasi dengan begitu lama.

“Saya risau apabila saya meneliti komen-komen dalam kandungan itu, ia seolah-olah membolehkan beberapa jenayah lain untuk turut dilakukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Ancaman Dalam Talian 2024 di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Terdahulu, seorang pemandu bas ditahan polis kerana merakam beberapa video melibatkan kanak-kanak di akaun TikToknya.

Akaun TikTok suspek memiliki lebih 640,000 pengikut dan dalam satu video yang dimuat naik, dia merujuk seorang penumpang kanak-kanak sebagai “crush” dan mengeluarkan kata-kata tentang kanak-kanak yang dilihat ramai pengguna media sosial sebagai tidak wajar.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman untuk mengenal pasti pihak lain yang disyaki terlibat melakukan sebarang pelanggaran undang-undang di media sosial.

Beliau berkata, platform media sosial yang ingin beroperasi di Malaysia juga perlu faham dengan kerangka kawal selia dan undang-undang yang berkaitan.

Pada masa yang sama, Fahmi turut mengingatkan semua pihak termasuk guru agar tidak memuat naik kandungan melibatkan kanak-kanak.

“Ia merupakan satu pelanggaran undang-undang termasuk akta kanak-kanak dan saya akan berhubung dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk pastikan isu ini turut difahami oleh guru-guru,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat