PENGASAS dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) aplikasi Telegram, Pavel Durov mendakwa penahanannya oleh pihak berkuasa Perancis dianggap tidak munasabah.
Dalam kenyataan pertamanya selepas ditahan, dia menafikan dakwaan yang menyatakan Telegram merupakan ‘syurga anarkis’.
Durov ditahan pada 25 Ogos lalu di sebuah lapangan terbang di utara Paris kerana disyaki terlibat dalam membenarkan transaksi haram, pengedaran dadah, penipuan dan penyebaran gambar penderaan seksual kanak-kanak disebarkan di aplikasi miliknya.
Namun, Durov menyatakan bahawa ia tidak munasabah untuk meletakkan kesemua kesalahan kepadanya apabila kesalahan sepatutnya diletakkan sepenuhnya kepada pihak ketiga yang menggunakan aplikasi tersebut.
“Mengenakan tindakan undang-undang terhadap CEO aplikasi yang dilakukan oleh pihak ketiga di platform miliknya adalah pendekatan yang salah.
“Dakwaan media yang menyatakan bahawa Telegram adalah ‘syurga anarkis’ adalah tidak benar kerana kami berhadapan dengan saluran berbahaya setiap hari,” katanya.
Namun, dia mengakui bahawa Telegram tidak sempurna dan menyatakan bahawa pihak berkuasa Perancis mempunyai pelbagai cara lain untuk berhubung dengannya kerana aplikasi tersebut mempunyai wakil rasmi di benua berkenaan.