KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyatakan kegembiraan baginda atas prestasi ekonomi dan perdagangan negara yang semakin baik dan menunjukkan peningkatan.
Seri Paduka Baginda berharap kerajaan akan terus berusaha memperkukuhkan ekonomi negara dengan tujuan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat.
“Setiap pemimpin dan anggota pentadbiran kerajaan perlu memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara. Hindarilah amalan rasuah dan salah guna kuasa.
“Saya juga berharap agar seluruh rakyat Malaysia terus mengekalkan perpaduan, hidup dalam harmoni, bersatu padu, dan berpegang teguh kepada Rukun Negara,” titah Seri Paduka Baginda.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan penghargaan atas ucapan tahniah dan doa daripada rakyat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.
“Doa seluruh rakyat sentiasa mengiringi langkah saya dalam menjalankan tugas dan amanah sebagai Ketua Negara. Marilah kita berdoa kepada Allah SWT agar Malaysia terus diberkati, dirahmati, dan kekal aman serta makmur,” titah baginda lagi.
Hadir sama dalam istiadat tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri kabinet.
Sebelum itu, Anwar dalam ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong berkata, kerajaan akan terus berusaha memastikan negara stabil serta mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mesra perniagaan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengetuai senarai 116 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 dengan menerima Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri.
Baca juga: