‘Tahniah, pencapaian Bonnie luar biasa!’ – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin susulan kejayaan menyumbang pingat emas buat negara di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Menerusi ciapan di aplikasi X, Anwar turut berkongsikan rasa bangga dengan pencapaian Bonnie yang turut berjaya melakar sejarah baharu dengan memecahkan rekod dunia yang menurutnya luar biasa.

“Kita beroleh pingat emas kedua di #Paralympic2024 dan lebih membanggakan, saudara Bonnie Bunyau berjaya memecahkan rekod dunia!!

“Tahniah! Pencapaian saudara luar biasa!,” katanya.

Bonnie, menghadiahkan pingat emas kedua buat kontinjen Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024 setelah meraih pingat emas bagi kategori 72 kilogram (kg) lelaki di Porte de La Chapelle Arena pada Jumaat selepas berjaya melakukan angkatan seberat 232kg sekali gus memadam rekod dunia miliknya iaitu 231kg.

Bonnie yang turut dikenali sebagai badang kerdil Sarawak turut meraih pingat emas dalam penampilan sulungnya di Sukan Paralimpik Tokyo pada tahun 2020 sekali gus menjadikannya pemenang pingat emas berganda Sukan berprestij dunia itu.

Pada Isnin, pemain badminton, Cheah Liek Hou merangkul emas pertama negara dalam perseorangan lelaki SU5 (cacat badan atas).

Anda Mungkin Berminat