Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Kolej Komuniti Selayang (KKSY) berjaya mengangkat nilai tradisional dan moden dalam Festival TVET Madani yang dianjurkan baharu-baharu ini.
Dua elemen ini digabungkan menjadi kunci utama dalam festival selama tiga hari sejak 6 September lalu mengetengahkan pelbagai program yang sememangnya dapat membantu meningkatkan kelestarian budaya Malaysia.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail, festival itu juga bertujuan memupuk kelestarian budaya kerja yang cemerlang dan meningkatkan daya saing dalam penyelidikan, inovasi serta pengkomersialan dalam kalangan pensyarah, pelajar diikuti dengan komuniti setempat.
Tambahannya, festival itu turut membantu memupuk aktiviti perkongsian pintar kepakaran dan pertukaran pendapat antara pihak institusi pendidikan tinggi dengan industri serta kementerian yang berkaitan.
“Festival ini sememangnya akan mengetengahkan pelbagai program seperti Pertandingan Inovasi (PERDINO), Seminar Penyelidikan (SEMPEN), The Big Ideas 2.0 (Product Pitching), Kursus Pendek (Pembelajaran Sepanjang Hayat) serta banyak aktiviti yang lain,”katanya.
Tambahnya, program sebegini sememangnya memberi manfaat dalam bidang pelancongan, hospitaliti, gastronomi, pengurusan acara dan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Beliau turut berkata, tumpuan yang diberikan kepada bidang tersebut adalah untuk memanifestasikan kekayaan budaya serta warisan Malaysia yang menjadi aset berharga untuk dipertahankan dan diwarisi oleh generasi akan datang.
“Dengan membawa tema ‘Kelestarian Ilmu Warisan Malaysia Madani’, festival ini akan menekankan kepentingan memelihara dan mempromosikan nilai-nilai tradisional sambil beradaptasi dengan teknologi moden.
“Perkongsian pintar ini amat penting bagi memastikan penyelidikan dan inovasi yang kita
hasilkan ini akan terus kekal relevan supaya dapat diaplikasikan dalam dunia nyata,” katanya dalam satu kenyataan.