Malaysia catat nilai dagangan tertinggi lima bulan berturut-turut

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Malaysia mencatat nilai dagangan tertinggi dalam lima bulan berturut-turut sejak Januari hingga Mei 2024 dengan lebihan dagangan sebanyak RM10.14 bilion.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata, pertumbuhan kelima-lima bulan ini menunjukkan prestasi yang baik sejak Mei 2020.

“Bagi Januari 2024 nilai dagangan menunjukkan kenaikan sebanyak 13.3 peratus diikuti bulan berikutnya iaitu kepada 3.3 peratus.

“Pada Mac pula, nilai dagangan turut menunjukkan trend peningkatan yang baik iaitu sebanyak 5.1 peratus manakala bulan April dan Mei meningkat kepada 14.1 peratus dan 10.3 peratus.

“Bagi kelima-lima bulan pertama ini, Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan perdagangan tertinggi kepada RM1.158 trilion dan peningkatan nilai eksport 4.5 peratus kepada RM605.25 bilion dengan lebihan dagangan RM52.01 billion,” jelasnya di media sosial pada Isnin.

Tambahnya, eksport gerakan dagangan utama seperti Asian, China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun turut mencatatkan prestasi yang sangat memberangsangkan.

“Menerusi gerakan tersebut, nilai eksport ke rakan dagangan TFA juga turut menunjukkan trend peningkatan 4.5 peratus tahun ke tahun menjadi RM87.64 bilion,” katanya.

Anda Mungkin Berminat