Oleh: Hanim Nadia
SERDANG: Sempena MAHA 2024, Agrobank melancarkan Kempen AgroMAHA Menang Motosikal Setiap Hari dan Kad Takaful Kasih Plus istimewa kepada pengunjung yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Muhamad Sabu di Serdang pada Isnin.
Kempen itu menawarkan lebih 50 hadiah termasuk 12 buah motosikal sebagai hadiah utama dan gajet-gajet menarik seperti tablet, telefon bimbit, jam tangan pintar serta ‘headphone’ (fonkepala) tanpa wayar.
Bagi menyertai kempen ini, pelanggan Agrobank sama ada yang baharu atau sedia ada hanya perlu menyimpan dan melanggan produk terpilih seperti AgroPrimaS dan FRIA-i / FRIA-i 45 Plus, Takaful Kasih Plus, Agro Nurani, Agro Madani, Agro Takaful Flexi, Agro Takaful Aspirasi serta Pembiayaan Peribadi AgroCash-i dengan kelulusan segera.
Pada majlis sama, Agrobank turut melancarkan Kad Takaful Kasih Plus Edisi MAHA 2024 yang menyediakan perlindungan kepada para pelanggan dengan manfaat tambahan yang menarik dengan harga serendah RM54.
Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kempen eksklusif AgroMAHA bertujuan untuk menggalakkan pelanggannya membina kestabilan kewangan melalui tabiat menabung agar menjamin masa depan yang lebih baik.
“Istimewanya Kad Takaful Kasih Plus Edisi MAHA 2024, dengan harga yang berpatutan dan mampu milik, para pelanggan dapat menikmati perlindungan yang komprehensif beserta manfaat tambahan termasuk kecederaan akibat ragut dan caj ambulans,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Agrobank turut menawarkan ganjaran istimewa wang tunai bernilai RM20,000 untuk para pelanggan yang menggunakan kemudahan DuitNow QR Agrobank semasa membuat sebarang pembayaran di MAHA.
Penyertaan adalah melalui pengumpulan mata dengan perbelanjaan minimum RM20 dalam satu transaksi.
Agrobank turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik bagi memeriahkan suasana MAHA 2024 seperti AgroFit, Agro Youth dan aktiviti-aktiviti untuk kanak-kanak, yang mana 30 pelanggan pertama yang berjaya melengkapkan kembara AGRO MAHA 2024 setiap hari berpeluang memenangi ganjaran menarik.
MAHA akan berlangsung mulai 11 September hingga 22 September ini di MAEPS, Serdang akan menampilkan 48 segmen menarik melibatkan aktiviti pameran dan jualan merangkumi ekosistem berkaitan rantaian nilai agromakanan.