PETALING JAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dijadual menyampaikan amanat sulung dengan tema ‘Reformasi Perkhidmatan Awam’ bermula pukul 2.30 petang.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, amanat khas itu akan disampaikan Shamsul Azri pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN Tahun 2024 di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri di Putrajaya.
“Apakah yang dimaksudkan dengan reformasi perkhidmatan awam? Sokongan seluruh pegawai awam dalam merealisasikan hala tuju reformasi perkhidmatan awam amat dihargai,” menurut hantaran itu.
Pada 2 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, beliau mahu langkah reformasi dalam pentadbiran awam dilaksanakan segera dengan menjangkakan bulan ini adalah bulan pergerakan reformasi yang lebih pesat.
Anwar yang menyuarakan langkah segera itu pada majlis perjumpaan bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri berkata, reformasi perkhidmatan awam perlu dicapai dengan kaedah atau prosedur yang bersesuaian dengan peredaran zaman.
Sehubungan itu Anwar memaklumkan beliau akan berbincang dengan Shamsul Azri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz tentang langkah yang perlu dilakukan bagi memperbaiki prestasi perkhidmatan awam.