Anwar Ucap Takziah Pemergian Bekas ADUN Demit, Muhammad Mustafa

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit, Muhammad Mustafa yang dilaporkan meninggal dunia, malam tadi.

Anwar dalam hantaran Facebooknya berkata, Allahyarham yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh merupakan seorang sahabat yang baik.

“Takziah kepada keluarga almarhum Ustaz Muhammad Mustapa atas kehilangan almarhum malam semalam. Saudara Mustapa adalah mantan Ahli Parlimen Ketereh dan mantan ADUN Demit, selain merupakan seorang sahabat yang baik.

“Mendoakan keluarganya dikurniakan kekuatan, serta mendoakan agar roh beliau diampunkan segala dosa dan diberi tempat teristimewa di-sisiNya,” kata Anwar.

Allahyarham Muhammad merupakan bekas ADUN Demit bagi penggal 2008-2013.

Perkhabaran duka itu turut dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin menerusi satu hantaran di Facebook.

Katanya, Muhammad menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 11.10 malam di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian.

“Insya-Allah, solat jenazah akan diadakan pada jam 10 pagi Selasa di Masjid Al Huda, Kampung Huda Kubang Kerian.

“Satu kehilangan yang besar tidak hanya buat keluarganya bahkan juga buat seluruh rakyat Kelantan yang telah mendapat manfaat daripada ilmu dan khidmatnya,” katanya.

ADUN Kijang itu memberitahu, Allahyarham turut merupakan bekas Senator Dewan Negara (2017-2020).

Anda Mungkin Berminat