Oleh: Hanim Nadia
KEMAS kini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa menyaksikan kedudukan Zii Jia melonjak satu anak tangga untuk bergelar pemain ke-3 terbaik dunia buat masa ini.
Zii Jia yang sebelum ini berada di ranking keempat dunia berjaya memintas kedudukan jaguh Indonesia, Jonatan Christie yang jatuh empat anak tangga ke posisi ketujuh dunia.
Zii Jia mengumpul 83,716 mata meninggalkan dua lagi pemain iaitu pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn (lapan) dan Anders Antonsen dari Denmark (lima).
Biarpun tersingkir pada pusingan awal Terbuka Jepun bulan lalu, namun pemain berusia 26 tahun itu mencatat peningkatan hasil rentak positif termasuk merangkul pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Untuk rekod, kali terakhir anak jati Kedah ini menduduki ranking ketiga dunia adalah pada tahun 2022, atau lebih tepat pada 20 Oktober 2022.