40 penduduk Kelantan terima manfaat Program Santuni Madani

Oleh: Shafira Aziz

BACHOK: Seramai 40 penduduk terima manfaat menerusi Program Santuni Madani yang diadakan di Kampung Telaga Ara dekat sini pada Rabu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), seorang daripada penduduk telah menerima pembaikan rumah dibawah program Rumah Kasih Ihsan.

Selain itu, seramai 36 ketua isi rumah (KIR) telah menerima sumbangan bakul makanan manakala tiga orang penduduk telah menerima sumbangan katil hospital.

Program tersebut merupakan salah satu kaedah untuk meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat kampung melalui libat urus secara langsung.

“Sesi libat urus secara langsung turut berupaya mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk di kampung yang terpilih.

“Program ini turut membolehkan kerajaan membantu penduduk kampung berdasarkan kehendak penduduk tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa,” kata kenyataan tersebut pada Rabu.

Pengarah INTAN, Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff turut hadir bagi menyerahkan sumbangan tersebut sekali gus merasmikan program berkenaan.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan, Jasri Kasim; Timbalan Pengarah Kanan (Pembangunan Kompetensi) INTAN, Datuk Dr Haniff Zainal Abidin; Pendaftar INTAN, Sulaiman Yaakob Ayub; Timbalan Ketua Jajahan Bachok, Nik Ahmad Shazzwan Nek Muhammad dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Politeknik Shah Alam, Mohd Firdauz Mhd Radzi.

Anda Mungkin Berminat