Polis keluar saman pemandu buat pusingan U di tempat salah

Oleh: Shafira Aziz

JOHOR BAHRU: Polis mengeluarkan saman terhadap pemandu yang membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan di Jalan Persiaran Southkey 1/2, dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata pihaknya berjaya mengesan pemandu kereta jenis Proton X50 yang merupakan seorang wanita berusia lingkungan 40-an.

“Pemandu warga tempatan tersebut mengakui bahawa dia telah memandu kenderaan dengan membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan.

“Oleh itu, tindakan saman telah dilaksanakan terhadap pemandu mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu gagal mengikut arahan dan tanda lalu lintas,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, pihak polis mengesan video berdurasi 16 saat yang tular di laman sosial yang memaparkan aksi memandu wanita berkenaan.

Polis turut mengesahkan kejadian tersebut berlaku pada 9 September lalu kira-kira pukul 6.15 petang.

Anda Mungkin Berminat