Oleh: Sheikh Omar Bagharib Ali
SAYA telah melihat kenyataan oleh YB Teresa Kok berkaitan isu pensijilan halal yang hangat diperkatakan kini. Setelah diteliti, saya dapati tiada kontroversi pun yang sepatutnya timbul melainkan kebimbangan berasas seorang ahli parlimen selaku pembuat dasar dalam negara.
Pada masa yang sama, cuplikan diambil oleh pihak media menjadi tajuk berita sahaja, yang pada saya memancing perhatian banyak pihak. Itu pun bila saya menelusuri komen serta respon yang muncul, tak kurang ramai juga yang menyokong kenyataan YB Teresa termasuk dari kalangan Melayu Islam.
Berkaitan kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh yang sangat keras dengan menggelar YB Teresa sebagai ‘Nyonya tua’ dan mahu ‘tampal logo tak halal’ pada dahi Teresa, saya anggap itu kurang beradab. Mungkin Akmal mahu tunjukkan beliau anak jantan tapi malangnya, ia hanya mempamerkan sikap muslim yang tidak berhikmah.
Hikmah dalam Islam sangat penting sepertimana surah An-Nahl ayat 125 yang menekankan agar kita menyeru manusia ke Jalan Allah dengan hikmah, suri tauladan dan berdebat dengan cara yang baik (ahsan).
Kebimbangan pengundi bukan Melayu
Melihat konteks Pilihan Raya Kecil DUN Mahkota, saya bimbang sikap Akmal akan memberikan kesan terhadap sokongan pengundi.
Saya telah mula bergerak kebawah bertemu pengundi dalam seminggu ini. Respon yang saya terima agak membimbangkan. Pengundi bukan Melayu khususnya, memang sangat tidak selesa dengan pendekatan Dr Akmal. Namun yang turut mengejutkan ialah, pengundi Melayu juga ada yang tidak selesa dengan sikap Akmal yang dianggapnya sebagai ‘gangster’.
Saya cukup bimbang pendekatan Akmal akan memberi kesan negatif pada pola sokongan pengundi DUN Mahkota untuk calon Perpaduan dari BN. Berpandukan data Pilihan Raya Umum 15 pada September 2022, sokongan pengundi DUN Mahkota untuk UMNO adalah sekitar 30 peratus, PN 30 peratus dan PH 40 peratus.
Pada masa yang sama, DUN Mahkota adalah kerusi bercampur dimana demografinya meliputi sekitar 54 peratus Melayu, 35 peratus Cina dan 8 peratus India. Naratif kempen bagi DUN Mahkota mestilah bersifat moderat, sederhana dan meraikan ‘perpaduan dalam kepelbagaian’, bukan ‘siapa lebih jantan’.
Bagi saya, selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal tidak boleh lagi dianggap sebagai individu. Beliau adalah ‘institusi’ dalam UMNO. Beliau adalah pemuka dan imej hadapan lebih-lebih lagi calon Mahkota adalah anak buahnya sendiri dari Ketua Pemuda UMNO Bahagian.
Nasihat ikhlas saya, Akmal perlu diuruskan oleh UMNO demi kemenangan calon Perpaduan di DUN Mahkota. Sebarang perkara berbangkit hendaklah diselesaikan secara musyawarah, matang dan bijaksana. Bukan menghambur kecaman tidak sopan secara terbuka.
*** Penulis adalah Naib Pengerusi DAP Johor