Apa diperkata Hanipa bersifat peribadi, tidak mewakili AMANAH

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kenyataan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin mengenai rasa kesalnya terhadap Kerajaan Perpaduan merupakan pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili pendirian Parti Amanah Negara (AMANAH).

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, partinya menghormati pandangan peribadi setiap ahli selaras dengan peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Sungguh pun begitu, sejajar dengan prinsip kedaulatan undang-undang, setiap siasatan kes perlulah dikendalikan oleh pihak berkuasa di mana AMANAH yakin akan dilakukan secara adil dan telus,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau turut menegaskan bahawa dasar dan tatakelola Kerajaan Perpaduan adalah di landasan yang tepat untuk membawa negara ke arah lebih progresif dan cemerlang.

Terdahulu, Mohamed Hanipa yang merupakan Ahli Jawatankuasa Tertinggi AMANAH meluahkan rasa kesalnya terhadap Kerajaan Perpaduan.

Ia susulan daripada keadilan yang sukar dicapai menerusi kes Ong Ing Keong, pemandu e-hailing pekak yang diserang anggota polis Mei lalu.

Katanya, beliau akan mendesak satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan bagi mengundi sama ada untuk kekal atau keluar dari Kerajaan Perpaduan sekiranya beliau merupakan seorang Presiden AMANAH.

Mohamed Hanipa turut menyatakan sekiranya beliau merupakan Peguam Negara, beliau akan mendakwa pelaku jenayah berkenaan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Anda Mungkin Berminat