Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim meminta Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden untuk mengemukakan nama individu pro-pembangkang yang ‘ditutup mulut’ oleh kerajaan.
Menerusi hantaran di laman X, Kamil menyelar dakwaan Afnan yang seolah-olah mahu membina persepsi kepada orang ramai bahawa kerajaan sedang mengekang kebebasan bersuara.
“Saya mohon saudara Afnan untuk nyatakan mulut siapakan yang ditutup oleh kerajaan hari ini.
“Kenyataan saudara tidak lebih sekadar cubaan untuk membina persepsi bahawa bahawa kerajaan mengekang kebebasan bersuara,” katanya pada Khamis.
Dalam pada itu, Kamil turut menegaskan sekiranya kebebasan bersuara disekat, bagaimana Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang boleh menggelar pimpinan kerajaan dengan pelbagai gelaran.
“Bahkan presiden parti saudara Afnan sendiri tanpa segan silu menggelar pimpinan kerajaan dengan pelbagai gelaran dan hinaan, tidak pernah lagi ditutup mulutnya,” ujarnya.
Kamil juga memetik ayat daripada Al-Quran, Surah Al-Ma’idah ayat 2 yang membawa maksud untuk saling bekerjasama dalam membuat kebajikan dan menghindari dosa dan permusuhan.
Terdahulu, Afnan menyelar kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya cuba menutup mulut para pembangkang.
Dia turut memberi amaran kepada kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengendahkan suara pengkritiknya atau berdepan risiko dijatuhkan melalui protes jalanan.
Afnan berkata demikian dalam ucapan sempena Muktamar Pemuda PAS kali ke-70 yang diadakan di Kerdau, Temerloh.