Pahang nafi bersikap tidak berperikemanusiaan

Oleh: Kamilia Ali

PAHANG: Kerajaan Negeri Pahang menafikan dakwaan yang memberi gambaran seolah-olah kerajaan negeri itu telah menyalah gunakan kuasa dan membuat ugutan melalui cara yang tidak berperikemanusiaan.

Menurut Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob, dakwaan yang tidak berasas tersebut hanyalah cubaan untuk memburukkan imej kerajaan negeri.

“Ini merupakan satu dakwaan yang tidak berasas dan cubaan untuk memainkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri serta Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).

“Kerajaan negeri sentiasa menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak sesekali akan mengambil tindakan di luar prinsip tersebut.

“Pahang akan kekal menegakkan undang-undang dan bertekad melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang aktiviti pencerobohan tanah secara haram di atas tanah kerajaan ditangani sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan secara menyeluruh akan dibuat dan kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap tuduhan yang boleh memburukkan imej pentadbiran negeri itu.

“Saya akan memastikan siasatan menyeluruh tuduhan Save Musang King Alliance (SAMKA) ini dan kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap cubaan untuk memburukkan imej kerajaan negeri.

“Saya berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan cubaan memfitnah tidak bertanggung jawab sebegini,” jelasnya.

Pada 10 September lalu, terdapat satu hantaran menerusi laman Facebook SAMKA yang mendakwa bahawa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah membakar serta memusnahkan struktur yang menempatkan pekerja dan peralatan pekebun haram di dalam kawasan yang terlibat dengan pencerobohan haram di Daerah Raub.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat