Anwar gesa siasatan GISB disegerakan

Oleh: Hanim Nadia

KAJANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa siasatan berhubung kes berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) disegerakan.

Tegasnya, ini kerana isu-isu berkenaan eksploitasi kanak-kanak dan penyelewengan agama yang disifatkan sangat serius boleh menjejaskan akidah ummah.

“Biar polis buat siasatan dan tindakan ikut undang-undang dan pihak majlis agama terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ada kekuatan penyiasatan serta pendidikan untuk beri nasihat. Jadi jangan lengahkan kalau benar.

“Soal akidah umat ini penting. Perkara besar soal penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan agama, penderaan kanak-kanak itu semua soal serius bagi umat.

“Ramai yang tanya mengapa berlaku kelewatan dan kelengahan dalam tindakan, saya telah bawa badan-badan ini untuk tindakan segera, siasatan dan laporan,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Al Imam Kampung Desa Putra, Sungai Merab.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 49 kanak-kanak berusia bawah lima tahun dari pusat perlindungan (GISB) akan ditempatkan di tiga pusat perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Selangor dan Negeri Sembilan.

Menurut Razarudin, kesemua kanak-kanak itu diberikan perintah jagaan sementara mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-kanak 2001.

Daripada jumlah itu, seramai 13 kanak-kanak yang menginap di rumah amal itu yang dikaitkan memiliki rekod pernah diliwat.

Anda Mungkin Berminat