DVS: Haiwan pameran MAHA 2024 dalam keadaan baik

Oleh: Kamilia Ali

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menafikan wujud elemen penyeksaan terhadap haiwan di pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

Menerusi kenyataan hari ini, DVS memberi maklum balas terhadap tuduhan penyeksaan haiwan secara terbuka di MAHA 2024 dalam video tular pagi tadi.

“DVS telah membuat pemeriksaan ke atas anak-anak ayam di pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 dan mendapati semua anak-anak ayam berada dalam keadaan baik serta tidak menunjukkan tanda-tanda sakit atau penderitaan.

“DVS ingin memaklumkan bahawa mewarnakan anak-anak ayam adalah tidak termasuk di dalam perbuatan yang dikategorikan sebagai penganiayaan kepada haiwan di bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) selagi kaedah pewarnaan tidak membahayakan, memudaratkan, menyakitkan dan menyebabkan penderitaan.

“Sehubungan itu, DVS ingin menasihatkan semua pihak untuk membuat rujukan dengan pihak berkuasa veterinar terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat dan mengundang provokasi,” katanya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Agensi itu menjelaskan Pegawai Kebajikan Haiwan turut ditempatkan di MAHA 2024 dan membuat pemantauan ke atas kebajikan kesemua haiwan yang terlibat dalam pameran bermula 11 hingga 22 September di MAEPS, Serdang.

Sebelum ini, video tular yang dimuat naik oleh individu dipercayai veterinar berdaftar itu menimbulkan kekecohan di media sosial.

Anda Mungkin Berminat