KPDN teruskan ‘Jom Kosong’ di Johor

Oleh: Shafira Aziz

KLUANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meneruskan inisiatif ‘Jom Kosong’ dengan siri jelajah di Restoran Tepi Sungai Jamilah, dekat sini pada Jumaat.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata program tersebut adalah usaha menyokong Kempen Perangi Gula anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Port Dickson baru-baru ini.

“Kempen ‘Jom Kosong’ bertujuan mengurangkan penggunaan gula dalam makanan dan minuman di restoran serta menggalakkan pengguna memilih pilihan lebih sihat.

“Kajian oleh KKM mendapati rakyat Malaysia mengambil purata 26 sudu teh gula sehari, lebih tiga kali ganda daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu hanya enam sudu teh sehari,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Restoran Tepi Sungai Jamilah menyambut baik inisiatif tersebut dengan menawarkan pengurangan harga sebanyak 20 sen bagi semua minuman tanpa gula.

Kempen tersebut turut dijayakan oleh Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persekutuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kecil Sederhana Malaysia (SAMENTA).

Fuziah turut berharap lebih ramai pengusaha restoran akan menyertai usaha ini untuk memupuk gaya hidup sihat di kalangan rakyat.

“Melalui kempen ini, kami berharap ia akan menjadi budaya baru dalam masyarakat, di mana kesedaran kesihatan semakin meningkat dan rakyat lebih bijak dalam mengawal pengambilan gula,” tambahnya.

Dalam pada itu, KPDN akan mengambil langkah drastik dengan mengeluarkan produk-produk yang mengandungi kandungan gula tinggi seperti susu pekat manis daripada senarai barangan yang diberi diskaun di bawah Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) bermula mulai 1 Oktober depan.

Langkah tersebut bertujuan untuk mengurangkan akses kepada makanan dan minuman tinggi gula.

“Kami percaya langkah ini perlu bagi memastikan usaha mengurangkan pengambilan gula mendapat kesan yang positif dalam jangka masa panjang,” ujarnya.

Untuk rekod, statistik menunjukkan diabetes kini menjejaskan 18.3 peratus populasi dewasa di Malaysia dan kempen tersebut bertujuan mengekang peningkatan angka tersebut.

Anda Mungkin Berminat