Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited perkukuh pendidikan di Sabah dan Sarawak.
Menerusi kenyataan KPM hari ini, langkah tersebut selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diperkukuh melalui mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
Rentetan itu, KPM bersetuju dengan sepuluh tuntutan yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
“Antara tuntutan tersebut termasuk pelantikan guru Contract of Service (CoS) oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
“KPM juga menyokong pelaksanaan program Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdasarkan keperluan negeri,” kata kenyataan tersebut pada Jumaat.
Dalam pada itu, KPM turut memberi kuasa kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak meluluskan projek penyelenggaraan sekolah, tertakluk kepada projek yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak atau pihak lain selain KPM.
Menurut KPM, Mesyuarat JTBPP Negeri Sarawak telah diadakan pada Februari lalu, manakala mesyuarat untuk Negeri Sabah pula akan berlangsung pada Oktober nanti
“KPM dan kerajaan negeri komited memastikan pendidikan di Sabah dan Sarawak terus dipertingkatkan,” tambah kenyataan tersebut.
Kerjasama erat antara KPM dan kedua-dua kerajaan negeri akan memastikan masa depan pendidikan yang lebih baik demi kesejahteraan pelajar di Sabah dan Sarawak.