Portal SSPA boleh diakses mulai hari ini

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan boleh mula diakses menerusi laman web rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) (www.sspa.jpa.gov.my) mulai hari ini.

JPA menerusi satu kenyataan berkata, dengan terlaksananya SSPA ini, kerajaan menerusi Pengarah Perkhidmatan Awam berharap agar agenda ‘Reformasi Perkhidmatan Awam’ akan terus diperkasa.

“Antaranya dengan menyemai sikap taat setia di kalangan penjawat awam serta mampu memberikan khidmat yang terbaik dalam memacu kesejahteraan negara dan rakyat secara keseluruhannya.

“Pelaksanaan dan perincian seperti pelarasan gaji dan urusan perkhidmatan menerusi SSPA akan dimulakan dengan sesi libat urus JPA dalam masa terdekat di semua kementerian dan jabatan bagi membolehkan semua Pengurus Sumber Manusia mendapat pencerahan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Berkuat kuasa 1 Disember 2024, kerajaan akan melaksanakan SSPA bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) di mana penjawat awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari mulai 21 Oktober sehingga 30 November 2024.

“Pelaksanaan SSPA tidak akan menjejaskan pencen penjawat awam yang berstatus tetap dan pelarasan gaji baharu hanya terpakai kepada pegawai awam yang memilih opsyen SSPA sahaja,” katanya.