Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan isu-isu berkaitan akidah umat Islam.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya menyokong penuh tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menahan reman 171 individu dalam Op Global.
“Operasi Op Global itu bertujuan untuk siasatan berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).
“Dalam masa sama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah untuk memberikan kerjasama penuh untuk membantu pihak PDRM dalam proses siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, JAKIM turut akan membawa isu ini kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk memutuskan dalam perkara-perkara berkaitan akidah.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menjalankan siasatan dan kajian terperinci terhadap doktrin fahaman kumpulan GISB Holdings.
“Fungsi Jawatankuasa Khas ini adalah untuk membantu memberikan sokongan data dan kajian kepada pihak berkuasa termasuk kepada Jawatankuasa Muzakarah MKI,” jelasnya.
Dalam pada itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan membantu untuk menyediakan rumah perlindungan kepada kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dalam Op Global tersebut selain, memberikan khidmat rundingcara dan kaunseling kepada mangsa yang terlibat.