Pertarungan dua penjuru di PRK DUN Mahkota


Oleh: Shafira Aziz

KLUANG: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

BN mencalonkan Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, manakala PN pula mempertaruhkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, atau turut dikenali sebagai ‘Coach Haizan’.

Beberapa pemimpin turut memberikan sokongan kepada calon masing-masing, antaranya Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan rakan sekutu dari DAP dan PKR, Anthony Loke dan Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, calon PN pula diiringi Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali.

Kedua-dua calon telah menyerahkan borang pencalonan mereka di Dewan Tunku Ibrahim Ismail pada Sabtu.

Sesi penyerahan borang penamaan calon tamat pada 10 pagi diumumkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian PRK DUN Mahkota, Azurawati Wahid.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 28 September depan, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 24 September.

Menurut SPR seramai 66,308 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK DUN Mahkota yang membabitkan tiga pusat mengundi dengan 11 saluran bagi pengundian awal, manakala 20 pusat mengundi dengan 109 saluran akan dibuka pada hari pengundian.

Untuk rekod, PRK Dun Mahkota diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas kematian penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63.

Allahyarhamah meninggal dunia akibat pendarahan dalaman di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom pada 2 Ogos lalu.

Anda Mungkin Berminat